Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Pemberigaan peraturan periklanan ABCi diteruskan
​Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Sebagai usaha berterusan untuk memberigakan mengenai pendaftaran syarikat pengiklanan, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) telah mengadakan taklimat mengenai pendaftaran syarikat pengiklanan di bawah kawalan ABCi, Kementerian Pembangunan yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Taklimat yang dihadiri oleh wakil syarikat-syarikat pengiklanan di Negara Brunei Darussalam bertujuan untuk memberigakan kepada syarikat-syarikat untuk berdaftar di Kementerian Pembangunan termasuk pengemaskinian tatacara mendapatkan kebenaran iklan, papan iklan dan papan tanda.

Taklimat di majlis berkenaan disampaikan oleh Ketua Bahagian Pelesenan, ABCi, Awang Eliazar bin Sabtu.

Dalam taklimat itu, para wakil syarikat diberikan penerangan di mana sebarang iklan, papan iklan dan papan tanda hendaklah dipohonkan kebenaran daripada ABCi melalui syarikat pengiklan yang berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan.

Proses permohonan kebenaran iklan, papan iklan dan papan tanda mengambil masa selama empat hari waktu bekerja.

KenanganManis.jpg
Awang Eliazar memberikan penerangan semasa taklimat yang diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan.

Supervisor.jpg
Antara wakil-wakil syarikat pengiklanan yang menghadiri taklimat yang diadakan di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, kelmarin.

Kepentingan untuk mendapatkan kebenaran adalah bagi memastikan iklan, papan iklan dan papan tanda yang dipasang oleh syarikat-syarikat pengiklanan menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh agensi-agensi yang terlibat.

Bagi iklan, papan iklan dan papan tanda yang tidak mempunyai kebenaran boleh disabitkan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bangunan (Iklan, Papan Iklan dan Papan Tanda) 2016, mana-mana orang yang melanggar atau gagal mematuhi mana-mana peruntukan dan jika didapati sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi $10,000, hukuman penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika kesalahan didapati berterusan, maka boleh dikenakan denda tambahan tidak melebihi $500 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan atau jika ingkar membayar salah satu denda tersebut, boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan.

Permohonan pendaftaran selaku syarikat pengiklanan bolehlah dipohonkan dengan mengisi borang pendaftaran yang boleh didapati di kaunter pendaftaran, tingkat 1, ABCi pada waktu kaunter dibuka.

Manakala itu, bagi permohonan kebenaran iklan, papan iklan dan papan tanda bolehlah dipohonkan melalui syarikat-syarikat pengiklanan yang berdaftar di Kementerian Pembangunan.

Senarai syarikat-syarikat pengiklanan yang berdaftar boleh didapati di laman sesawang Kementerian Pembangunan, www.mod.gov.bn atau di Kaunter Pendaftaran, Tingkat 1, Pejabat ABCi.
Attachments