Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

PENGUATKUASAAN BUILDING CONTROL (COMPOSITION OF OFFENCES) REGULATIONS 2020

Building Control (Composition of Offence) Regulations, 2020

Kementerian Pembangunan sukacita memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan  peraturan baru iaitu Building Control (Composition of Offences) Regulations 2020 di bawah Perintah Kawalan Bangunan (Building Control Order), 2014.  

 

Sejak 01 November 2015, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) di bawah Kementerian Pembangunan adalah Autoriti yang bertanggungjawab dalam melaksanakan peruntukan-peruntukan Perintah Kawalan Bangunan dan Peraturan-Peraturannya. Undang-undang tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan pembinaan, dan juga keselamatan dan kesihatan orang ramai melalui kawalan kemajuan pembangunan di Negara Brunei Darussalam. 

                                                                        

Bagi memastikan pematuhan dan penguatkuasaan yang lebih efisyen, Perintah Kawalan Bangunan 2014 memberi kuasa kepada ABCi untuk menggenakan kompaun kepada Orang yang Berkelayakan (iaitu Arkitek atau Jurutera Profesional - Qualified Persons), syarikat pembina atau pemaju tanah atau rumah termasuk pemilik tanah jika didapati melakukan kesalahan-kesalahan yang tersenarai dibawah Building Control (Composition of Offences) Regulations, 2020.

 

Peraturan Kompaun ini juga memberi kuasa kepada ABCi untuk menggenakan kompaun ke atas kesalahan di bawah Building Control (Advertisement, Billboard and Signboard) Regulations 2016  jika pihak-pihak seperti syarikat pengiklanan, mana-mana orang atau syarikat yang mempromosi iklan tidak mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari ABCi sebelum memasang struktur dan memaparkan iklan, papan iklan atau papan tanda di Negara Brunei Darussalam. Ini termasuk papan-papan tanda perniagaan, papan-papan dan kain rentang iklan, promosi jualan dan sebarang kain rentang acara-acara keraian, dan tanda-tanda menunjukkan arah yang kadangkalanya ditinggalkan sahaja dan menjadi pandangan yang kurang elok di tempat awam dan boleh membahayakan pengguna-pengguna jalan raya dan orang awam.

 

Jumlah kompaun yang boleh dikenakan bagi ketidakpatuhan Perintah dan Peraturan Kawalan Bangunan  tidak akan melebihi BND$5,000.00.

 

Dengan adanya Building Control (Composition of Offences) Regulation 2020 ini, Kementerian Pembangunan yakin ianya akan meningkatkan lagi kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pematuhan undang-undang pembinaan dan keselamatan di dalam industri Pembinaan dan akan menghindar orang ramai daripada membangun atau meletakkan struktur yang boleh menjejaskan sama ada keselamatan orang awam atau harta benda di sekeliling kawasan yang dimajukan.

 

Building Control (Composition of Offences) Regulations, 2020 adalah berkuatkuasa secara kebelakangan mulai pada 01 Jun 2020.

 

Senarai kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan kompaun boleh didapati disini.

Attachments