Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

MAJLIS PERLANCARAN LOCAL BUSINESS DEVELOPMENT CIRCULAR KEMENTERIAN PEMBANGUNAN


Bandar Seri Begawan, Sabtu, 23 November 2019.

Kementerian Pembangunan hari ini telah mengadakan Majlis Perlancaran Local Business Development Circular di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Lapangan Terbang Lama Berakas, Bandar Seri Begawan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Menteri Pembangunan, Kementerian Pembangunan.


Majlis perlancaran bermula dengan kata kata aluan oleh Yang Mulia Setiausaha Tetap, (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan yang menekankan kepada syarikat-syarikat yang menyertai projek Kerajaan hendaklah berusaha untuk mencapai semua keperluan pembangunan perniagaan tempatan yang dinyatakan dalam kontrak. Manakala Jabatan/Divisyen di bawah Kementerian Pembangunan perlu mengenalpasti dan melaksanakan inisiatif LBD sepanjang peringkat pelaksanaan projek iaitu pada permulaan/pra-rekabentuk, reka bentuk, tawaran, pembinaan dan kesiapan bagi memenuhi kehendak LBD circular ini. Jabatan/Divisyen pelaksana dikehendaki mengenal pasti kriteria dan skop projek tersebut untuk memasukkan penglibatan syarikat, produk dan perkhidmatan tempatan serta menggalakkan pekerjaan tempatan sebanyak mungkin dalam sesebuah projek. 

 

Beliau menambah bagi mencapai sasaran seperti yang dinyatakan dalam Circular secara progresif menjelang Disember 2023 nanti, pihak ABCI akan menjalankan beberapa program pemberigaan dan perbincangan dengan jabatan-jabatan pelaksana secara berterusan untuk memastikan keberkesanan implementasi inisiatif ini.


Dalam ucapan perasmian beliau, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi menyatakan LBD Circular ini diperkenalkan adalah sejajar dengan usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan pembangunan yang mampan bagi kapasiti, keupayaan, kompetensi dan daya saing Syarikat tempatan dan juga bagi merealisasikan  perancangan strategik Kementerian Pembangunan dalam menyokong pembangunan perniagaan tempatan sebagai tonggak pertumbuhan dalam industri pembinaan.

 

Beliau menambah dalam menerajui pembangunan infrastruktur fizikal dan sosial negara, kementerian ini juga menyedari kepentingan untuk memberi fokus kepada beberapa aspek seperti pembangunan perniagaan tempatan demi menghasilkan pembangunan negara yang seimbang bagi kesejahteraan rakyat dan negara. Beliau menyatakan LBD Circular Kementerian Pembangunan ini memberikan tumpuan  kepada tiga bidang strategik utama iaitu pertama,  pemilikan dan pembangunan syarikat tempatan (local ownership), kedua, penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan (iaitu local content) dan ketiga, peluang pekerjaan  untuk  anak-anak tempatan (local employment).

 

Dalam memastikan perlaksanaan LBD dijalankan dengan efektif serta progresif, Yang Berhormat Menteri Pembangunan memaklumkan bahawa pihak Kementerian akan menubuhkan satu unit khas iaitu Unit LBD di bawah Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi). Unit ini akan diberikan tanggungjawab bagi menyelaras perlaksanaan, pemantauan dan peningkatan LBD di bawah Kementerian Pembangunan ini. Unit ini juga akan memastikan kemajuan LBD dirancang oleh Jabatan / Divisyen pelaksana mengikut circular LBD yang telah ditetapkan dan memantau peningkatan pengambilan pekerja tempatan dalam industri pembinaan secara keseluruhan.

 

Beliau menekankan perlaksanaan program program LBD ini selaras dengan strategi ke lima dalam Wawasan 2035 iaitu pembangunan perniagaan tempatan.

 

Kementerian Pembangunan

Negara Brunei Darussalam

26 Rabiulawal 1441

23 November 2019

Attachments